Isnin, 15 November 2010

Cuti Sekolah - Kenduri 3K dan Tengkujuh


Salam blogger,

Cuti akhir tahun sekolah sudah bermula. Bermakna berakhirlah sesi persekolahan bagi tahun 2010. Ustazah Suzy (Guru KAFA) bersorak hoorey kerana cuti sekolah sudah bermula (tapi bersorak dalam facebook je la....). Kalau dah ustazah begitu girang kerana dapat bercuti (juga kerana tahun depan elaun guru KAFA naik kepada RM800…hehehe), apatah lagi budak-budak sekolah, lagilah tak tergambar kegembiraannya. 

Ibubapa pula tentu gembira kerana semua anak-anak (yang tinggal di asrama) akan balik berkumpul di rumah. Tapi dalam gembira itu ada juga yang mengeluh. "Balik belaka gok, beras sesupik jadi dua supik bulan ni, ikan sekilo sehari dok cukup doh, bil api pulok jadi koho mahal..sebab TV tak dok masa nak 'tidor'. Senario biasa musim cuti sekolah.

Cuma pelajar-pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM sahaja yang masih belum boleh meraikan 'Cuti-cuti Malaysia' ini. Masih lagi dengan study groups, baik di sekolah mahupun di rumah, memang itulah yang sepatutnya jika mahu mengejar kecemerlangan.

Berbalik kepada tajuk kali ini, Kenduri 3K dan Tengkujuh. Apa yang 3K tu..?

K yang pertama ialah Kenduri Kahwin. Inilah musimnya pasangan dua sejoli memadah kasih menjejakkan kaki ke jinjang pelamin. Yang gembiranya pasangan pengantin, yang penatnya saudara mara dan ahli keluarga, yang tak berapa gembira pula tak payah di cerita...sudah ada 10 keping kad terpacak di dinding, semuanya kena diraikan. Kenapa tak gembira....? hehehehe...soalan cepu mas!!

K yang kedua ialah Kenduri Korban. Musim cuti sekolah kali ini tiba serentak dengan musim haji. Tapi tahun ini dan beberapa tahun kebelakangan ini tidak ada warga Durian Kassim yang ke Tanah Suci Mekah.. belum sampai seru atau mungkin belum cukup ongkosnya.. maklumlah, kos ke sana semakin hari semakin mahal. Walaupun begitu, ketika umat Islam di Tanah Suci sedang wukuf di Arafah, kita di sini pula turut sama menunaikan ibadah korban. Ada yang agihkan daging ke rumah-rumah, dan ada juga yang buat kenduri, jemput semua orang kampung makan di rumahnya. Sambil itu boleh juga jemput Imam Hj. Pa buat tahlil untuk ahli keluarga yang telah kembali kepadaNya.

Kenduri K yang ketiga namanya Kenduri Khatan. Tapi zaman sekarang kenduri ini biasanya dianjurkan oleh badan2 tertentu atau oleh parti-parti politik samada UMNO atau PAS. Tak macam zaman 60an, 70an, dan awal 80an dulu (zaman Rozak Pokde Nik, Poksu Umar, Mat Sidi, Rozak Pok Dik, Poksu Din, Ropi Tok Umar... ramai lagi). Zaman itu kenduri ini cukup meriah. Habis satu kampung datang bertandang ke rumah membantu, walaupun yang dikendurikan itu hanyalah seorang. Apatah lagi kalau dibuat beramai-ramai. Hebatnya macam buat kenduri kahwin. Siap di buat nasi semangat pulut kuning dan di arak satu kampung dengan pengusung macam raja. 'Calon' berkhatan akan disiram dengan air yang diambil dari telaga atau sungai (tapi sekarang orang dah guna air pancutan bomba). Yang nak buat kenduri tentu gembira, tapi yang nak 'dikendurikan' pasti seram sejuk. Ada yang lari 'nusuk' belakang rumah. Terbayang muka tok mudim dengan pisau yang tajam, ditambah dengan 'siri-siri drama seram' dari abang-abang yang dah dewasa. 

Tapi itu cerita zaman dulu. Zaman sekarang semua tu sudah tidak kedengaran. Bahkan kadang-kadang anak tu sendiri yang minta untuk dikhatankan. Teringat komen seorang pelajar darjah 4 SK Felda Tersat sewaktu membuat liputan Majlis Berkhatan Beramai-ramai yang dirasmikan oleh YB Adun Ajil beberapa tahun dulu, ketika di tanya sebelum berkhatan, "takut dok..?" dia hanya menjuih bibir (tanda tak takut) dan di tanya sekali lagi selepas beberapa minit selesai berkhatan, "sakit dok...?" dia hanya tersengih sambil menggeleng kepala.. itulah kanak-kanak zaman mellenium.

Apa pun cuti sekolah ini juga ada dugaan yang bakal mendatang. Musim tengkujuh. Dua minggu lepas ia sudah menyerang Kedah dan Perlis. Lebih 40 ribu orang terpaksa berpindah, terburuk dalam sejarah dikedua-dua negeri itu. Di Terengganu, tanda-tanda sudah ada cuma masanya belum tiba lagi.

Durian Kassim juga tidak terkecuali. Yang tinggal di Cenerung Leban sudah awal2 lagi bersedia. Rumah-rumah yang biasa 'tenggelam' bila musim tengkujuh ialah rumah Pak Long Pok Li, Pak Su Din, Dollah Mek Ton, Pak Ju Pok Teh Li dan Mak Teh, Mat Husin dan Keri Pok Ngah. Termasuk juga rumah Mak Ngah (Tukang) dan Medan Pokcik Soh. 

Keadaan rumah Yah bt Senik - Mak Teh Pok Teh Li
(Gambar Arkib - banjir tahun 2007)

 
Jalan Cenerung Leban bertukar menjadi sungai bila musim bah

Menurut kata Ketua Kampung, bekalan untuk pusat pemindahan banjir di Surau Cenerung Leban sudah sampai, cuma masa dan ketikanya sahaja untuk diagihkan. 

Maknanya kita sudah bersedia untuk menghadapi dugaan ini, cuma kita berharap dan berdoa agar dugaan ini bukanlah yang terburuk dalam sejarah Durian Kassim sepertimana bah merah tahun 70an dulu dan banjir tahun 1987 (peristiwa pak mat kapak - arwah).


Akhir sekali, SELAMAT PENGANTIN BARU DAN SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA dari blog Durian Kassim.


Sekian…Wallahua’lam