Esok 11 November 2010, sepatutnya pentadbiran kampung menghantar sepuluh orang peserta kursus ke Institut Kemajuan Desa (INFRA) di Bangi, Selangor. Kursus pemantapan pemimpin ini dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) selama 3 hari mulai esok hingga 13/11/2010.
Barisan Kabinet JKKK Durian Kassim
Tapi begitulah sukarnya menjadi pemimpin apabila kampung ini gagal menghantar walaupun seorang peserta, kerana kesemua syaf kepimpinan kampung mempunyai komitmen tersendiri. Komitmen yang kerap kali menjadi alasan yang memeningkan kepala Pak Usop (Pengerusi JKKK). Antaranya; ada urusan keluarga, hendak pegi ke situ dan ke sana, tak boleh tinggal kerja (maklumlah, kerja sorong papan tarik papan di sawmill Asrama Raya), sudah acap kali pergi kursus yang sama (alasan paling relevan), tak ada duit dan alasan tak dok saing (alasan budak2).
Akhirnya keputusan sebulat suara, tidak hantar peserta. Rugi...memanglah rugi sebab orang nak bagi ilmu free. Tak kena bayar sesen pun, malah makan ditanggung, tidur ditilam, berak dijamban. Bukan senang nak dapat ilmu percuma. Moderator blog DK dulu pun habis berbelas ribu untuk memilik sekeping ijazah (sampai sekarang masih lagi kerja dengan sijil SPM).
Itu satu dari seribu cabaran menjadi 'Perdana Menteri' bagi sebuah kampung kecil. Tak termasuk cabaran menyelesaikan masalah kesusahan orang kampung, masalah lampu jalan tak menyala, masalah anak nak pergi sekolah tak ada duit, masalah anak muda minum air ketum, masalah anak muda 'makan kuda dan jual kuda', masalah jambatan baruh padi nak runtuh, masalah tak boleh duit dana raya, masalah, masalah, masalah dan masalah...
KEBANGGAAN
Pun begitu, hari ini ramai juga anak-anak kampung ini yang sudah berjaya. Anak Paksu Din dalam kampung misalnya, seorang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur (Faizol - Pegawai Farmasi HKL) dan seorang lagi ke Sarawak (Faizal - Pen. Pegawai Perubatan). Begitu juga anak Pak Din Ayam, kesemua anaknya menjadi orang yang berjaya (termasuk Dr.Sepet - dengar cerita dah jadi orang London). Anak-anak Kak Non (Zainon) juga ramai yang berjaya - Sabri (Pen. Pegawai Antidadah AADK Dungun), Termizi (Pen. Peg. Perubatan HUKM), Kamariah juga dlm bidang perubatan (Jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah). Ramai lagi yang tidak tersenarai termasuk yang masih lagi di IPTA / IPTS.
Orang kampung yang paling awal berjaya ialah Ust Ibrahim Musa (sudah bersara dan sekarang menetap di Panji Alam, K.T'ganu) pernah menjadi Penyelia Agama di Jabatan Pelajaran Terengganu. Selain itu Samsudin Muda (Din Muda Mas) sekarang ini menjadi pengurus Agro Bank Kemaman dan adiknya Norhayati Muda, khabarnya menjadi Pengetua di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.
Durian Kassim juga sudah sedikit maju sekarang, warganya tidak lagi kekok utk menyebut mouse dan keyboard, sudah pandai menggunakan blackberry, sudah ada GPS sendiri, dan sudah biasa dengan berukbank (broadband). Tidak lagi meng'gohik' basikal tua, kerana sekurang2nya sebuah rumah sudah ada Honda EX..(tambah 5 dibelakang). Sudah ada Grand Lavina dan Triton, sudah mampu pakai Pesona dan Pajero, sudah ada garaj utk Wira dan Waja, walaupun Ketua Kampung hanya pakai Perodua Kancil.
Namun, walaupun ramai yang berjaya, tapi kesemuanya berada diluar, balik bila hari raya atau cuti sekali sekala. Apa boleh buat, rezeki sudah tertulis di sana. Tapi dari DK ke KL sekarang cuma 5 jam, dan akan menjadi 4 jam selepas ini. Boleh 'breakfast' di kedai Pok Weil, 'lunch' di KL dan dinner di Durian Kassim dalam satu hari. (saya pernah cipta rekod ini awal tahun ini).
Kerana itu blog DURIAN KASSIM (duriankassim.blogspot.com) dan Facebook Durian Kassim dilancarkan dengan harapan ada anak-anak Durian Kassim yang berada di mana-mana (walaupun di United Kingdom) akan terjumpa, ter'search', atau terbaca kedua-dua medium ini akan bersama menyumbangkan idea, buah fikiran, dan buah tangan yang bersesuaian dengan desa ini untuk sama-sama membantu kami2 yang duk tercongok di kampung ini memajukan kampung ini. Barangkali idea kami di kampung tak sama dengan idea orang Sarawak, Kuala Lumpur dan London. Mudah2an dengan lontaran idea itu akan dapat kami kembangkan kepada akar umbi di kampung ini.
Walaupun blog ini tidaklah sesempurna blogger2 lain, (sb moderatornya masih lesen L - sekadar memperaktikkan apa yang dipelajari di universiti), tapi InsyaAllah proses 'touch-up' akan terus di buat dari masa ke semasa disamping mempromotekan blog ini melalui Facebook.
Dan Insya Allah juga, sedikit masa lagi website Durian Kassim pula akan dilancarkan. Manafaat teknologi hujung jari ini digunakan sepenuhnya untuk DK Desa Ku...