Khamis, 11 November 2010

Tahniah Pelajar UPSR 2010 (Kejayaan akademik dan kehidupan)

Salam Blogger.

Keputusan UPSR 2010 telah diumumkan semalam (11/11/2010) oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmud.  Bagi Negeri Terengganu, 35 buah sekolah telah dicatatkan sebagai Sekolah Berpencapaian Tinggi berdasarkan Nilai Gred Purata Terbaik.

Yang menjadi kebanggaan bila mana SK Peroh memecah tradisi apabila 7 pelajarnya memperolehi keputusan 5A, sesuatu yang tak pernah berlaku. Membuktikan walaupun berada di hulu, tidak bermakna kejayaan tidak boleh dicapai.

Anak-anak Durian Kassim pula macam biasa, ada yang cemerlang, ada yang kecundang. Yang cemerlang menjadi sebutan sama hebatnya seperti yang kecundang.

Anak Mak Su Ani (Roriah) khabarnya menjadi pelajar terbaik bagi Durian Kassim tahun ini dengan 4A 1C. Tahniah buat adik Norul Faqihah binti Razani. Cuma setakat ini tradisi 5A yang dipegang oleh keluarga 2 Din (Pak Su Din dan Din Ayam) masih belum dapat dipecahkan.

Adik Norul Faqihah bt Razani

Yang gagal tidak semestinya gagal semuanya, dan yang berjaya belum tentu akan terus berada di puncak kejayaan. Bagi yang gagal jika bijak menguruskan kehidupan pasti akan memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang berbanding sekarang, begitu juga yang cemerlang, jika gagal menguruskan kehidupan pasti akan terjerumus ke dalam kegagalan. Sejarah telah membuktikan. Seorang sahabat moderator yang pernah gagal dalam SRP, kemudian mengulang untuk SRP kedua, gagal pula dalam SPM, mengulang lagi, sekarang sudah menjawat jawatan besar dalam Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Teringat semasa sembang kedai kopi Haji Weil, seorang bapa berkata "kalau semuanya jadi orang besar2, sape lagi yang nak kerja di Sawmill Asrama Raya, Chee Fook Lian dan Indahya, sape pula yang nak ambil upah jadi tukang rumah, sape pula yang nak kait kelapa sawit berekar2, sape pula yang jadi pomen baiki kereta motor, sape pula yang nak jadi buruh projek kontraktor Zukeri Ngah dan MDZ Ent. 

Kejayaan tidak semestinya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata. Kejayaan menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, ibubapa, masyarakat, agama dan tanahair merupakan satu kejayaan yang besar dalam kehidupan.

Cuma yang merisaukan sekarang ialah tentang kejayaan anak2 muda kampung ini yang berjaya meletakan nama mereka dalam senarai orang2 yang 'dicari' polis, kerana menguruskan perniagaan menjual kuda. Dan yang lebih merisaukan ialah semakin ramai anak2 muda yang menjadi 'penunggang kuda' termasuk pelajar sekolah. 


PENGHARGAAN DAN PERINGATAN

Walau apa pun, moderator DK ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru-guru SK Peroh yang telah bertungkus lumus mendidik dan membimbing anak-anak kami sehingga memperolehi kejayaan ini.

Juga kepada kerajaan negeri dan persekutuan yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan dan inisiatif bagi mendorong kejayaan yang lebih cemerlang kepada pelajar-pelajar.

Kepada ibu bapa, teruskan dorongan kalian kepada anak-anak agar mereka boleh menyusuri kehidupan yang penuh onak duri ini dengan selamat di dunia dan di akhirat.

Kepada anak-anak, ini adalah permulaan bagi sebuah kehidupan yang masih panjang. 2011 menanti anak-anak dengan alam persekolahan yang baru, sekolah menengah. Permulaan sebuah kehidupan menempoh alam remaja. Kamu akan karam jika gagal mengemudi bahtera ini, tapi jika berjaya, kamu akan tiba di sebuah pulau kehidupan kebahagiaan.