Khamis, 11 November 2010

Tahniah Pelajar UPSR 2010 (Kejayaan akademik dan kehidupan)

Salam Blogger.

Keputusan UPSR 2010 telah diumumkan semalam (11/11/2010) oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg Dato’ Abd. Ghafar bin Mahmud.  Bagi Negeri Terengganu, 35 buah sekolah telah dicatatkan sebagai Sekolah Berpencapaian Tinggi berdasarkan Nilai Gred Purata Terbaik.

Yang menjadi kebanggaan bila mana SK Peroh memecah tradisi apabila 7 pelajarnya memperolehi keputusan 5A, sesuatu yang tak pernah berlaku. Membuktikan walaupun berada di hulu, tidak bermakna kejayaan tidak boleh dicapai.

Anak-anak Durian Kassim pula macam biasa, ada yang cemerlang, ada yang kecundang. Yang cemerlang menjadi sebutan sama hebatnya seperti yang kecundang.

Anak Mak Su Ani (Roriah) khabarnya menjadi pelajar terbaik bagi Durian Kassim tahun ini dengan 4A 1C. Tahniah buat adik Norul Faqihah binti Razani. Cuma setakat ini tradisi 5A yang dipegang oleh keluarga 2 Din (Pak Su Din dan Din Ayam) masih belum dapat dipecahkan.

Adik Norul Faqihah bt Razani

Yang gagal tidak semestinya gagal semuanya, dan yang berjaya belum tentu akan terus berada di puncak kejayaan. Bagi yang gagal jika bijak menguruskan kehidupan pasti akan memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang berbanding sekarang, begitu juga yang cemerlang, jika gagal menguruskan kehidupan pasti akan terjerumus ke dalam kegagalan. Sejarah telah membuktikan. Seorang sahabat moderator yang pernah gagal dalam SRP, kemudian mengulang untuk SRP kedua, gagal pula dalam SPM, mengulang lagi, sekarang sudah menjawat jawatan besar dalam Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Teringat semasa sembang kedai kopi Haji Weil, seorang bapa berkata "kalau semuanya jadi orang besar2, sape lagi yang nak kerja di Sawmill Asrama Raya, Chee Fook Lian dan Indahya, sape pula yang nak ambil upah jadi tukang rumah, sape pula yang nak kait kelapa sawit berekar2, sape pula yang jadi pomen baiki kereta motor, sape pula yang nak jadi buruh projek kontraktor Zukeri Ngah dan MDZ Ent. 

Kejayaan tidak semestinya diukur melalui pencapaian akademik semata-mata. Kejayaan menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri, ibubapa, masyarakat, agama dan tanahair merupakan satu kejayaan yang besar dalam kehidupan.

Cuma yang merisaukan sekarang ialah tentang kejayaan anak2 muda kampung ini yang berjaya meletakan nama mereka dalam senarai orang2 yang 'dicari' polis, kerana menguruskan perniagaan menjual kuda. Dan yang lebih merisaukan ialah semakin ramai anak2 muda yang menjadi 'penunggang kuda' termasuk pelajar sekolah. 


PENGHARGAAN DAN PERINGATAN

Walau apa pun, moderator DK ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru-guru SK Peroh yang telah bertungkus lumus mendidik dan membimbing anak-anak kami sehingga memperolehi kejayaan ini.

Juga kepada kerajaan negeri dan persekutuan yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan dan inisiatif bagi mendorong kejayaan yang lebih cemerlang kepada pelajar-pelajar.

Kepada ibu bapa, teruskan dorongan kalian kepada anak-anak agar mereka boleh menyusuri kehidupan yang penuh onak duri ini dengan selamat di dunia dan di akhirat.

Kepada anak-anak, ini adalah permulaan bagi sebuah kehidupan yang masih panjang. 2011 menanti anak-anak dengan alam persekolahan yang baru, sekolah menengah. Permulaan sebuah kehidupan menempoh alam remaja. Kamu akan karam jika gagal mengemudi bahtera ini, tapi jika berjaya, kamu akan tiba di sebuah pulau kehidupan kebahagiaan.

Rabu, 10 November 2010

Cabaran dan Kebanggaan Menjadi Pemimpin Desa

Esok 11 November 2010, sepatutnya pentadbiran kampung menghantar sepuluh orang peserta kursus ke Institut Kemajuan Desa (INFRA) di Bangi, Selangor. Kursus pemantapan pemimpin ini dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) selama 3 hari mulai esok hingga 13/11/2010.

Barisan Kabinet JKKK Durian Kassim

Tapi begitulah sukarnya menjadi pemimpin apabila kampung ini gagal menghantar walaupun seorang peserta, kerana kesemua syaf kepimpinan kampung mempunyai komitmen tersendiri. Komitmen yang kerap kali menjadi alasan yang memeningkan kepala Pak Usop (Pengerusi JKKK). Antaranya; ada urusan keluarga, hendak pegi ke situ dan ke sana, tak boleh tinggal kerja (maklumlah, kerja sorong papan tarik papan di sawmill Asrama Raya), sudah acap kali pergi kursus yang sama (alasan paling relevan), tak ada duit dan alasan tak dok saing (alasan budak2).

Akhirnya keputusan sebulat suara, tidak hantar peserta. Rugi...memanglah rugi sebab orang nak bagi ilmu free. Tak kena bayar sesen pun, malah makan ditanggung, tidur ditilam, berak dijamban. Bukan senang nak dapat ilmu percuma. Moderator blog DK dulu pun habis berbelas ribu untuk memilik sekeping ijazah (sampai sekarang masih lagi kerja dengan sijil SPM).

Itu satu dari seribu cabaran menjadi 'Perdana Menteri' bagi sebuah kampung kecil. Tak termasuk cabaran menyelesaikan masalah kesusahan orang kampung, masalah lampu jalan tak menyala, masalah anak nak pergi sekolah tak ada duit, masalah anak muda minum air ketum, masalah anak muda 'makan kuda dan jual kuda', masalah jambatan baruh padi nak runtuh, masalah tak boleh duit dana raya, masalah, masalah, masalah dan masalah...

KEBANGGAAN

Pun begitu, hari ini ramai juga anak-anak kampung ini yang sudah berjaya. Anak Paksu Din dalam kampung misalnya, seorang sudah berhijrah ke Kuala Lumpur (Faizol - Pegawai Farmasi HKL) dan seorang lagi ke Sarawak (Faizal - Pen. Pegawai Perubatan). Begitu juga anak Pak Din Ayam, kesemua anaknya menjadi orang yang berjaya (termasuk Dr.Sepet - dengar cerita dah jadi orang London). Anak-anak Kak Non (Zainon) juga ramai yang berjaya - Sabri (Pen. Pegawai Antidadah AADK Dungun), Termizi (Pen. Peg. Perubatan HUKM), Kamariah juga dlm bidang perubatan (Jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah). Ramai lagi yang tidak tersenarai termasuk yang masih lagi di IPTA / IPTS.

Orang kampung yang paling awal berjaya ialah Ust Ibrahim Musa (sudah bersara dan sekarang menetap di Panji Alam, K.T'ganu) pernah menjadi Penyelia Agama di Jabatan Pelajaran Terengganu. Selain itu Samsudin Muda (Din Muda Mas) sekarang ini menjadi pengurus Agro Bank Kemaman dan adiknya Norhayati Muda, khabarnya menjadi Pengetua di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Durian Kassim juga sudah sedikit maju sekarang, warganya tidak lagi kekok utk menyebut mouse dan keyboard, sudah pandai menggunakan blackberry, sudah ada GPS sendiri, dan sudah biasa dengan berukbank (broadband). Tidak lagi meng'gohik' basikal tua, kerana sekurang2nya sebuah rumah sudah ada Honda EX..(tambah 5 dibelakang). Sudah ada Grand Lavina dan Triton, sudah mampu pakai Pesona dan Pajero, sudah ada garaj utk Wira dan Waja, walaupun Ketua Kampung hanya pakai Perodua Kancil.

Namun, walaupun ramai yang berjaya, tapi kesemuanya berada diluar, balik bila hari raya atau cuti sekali sekala. Apa boleh buat, rezeki sudah tertulis di sana. Tapi dari DK ke KL sekarang cuma 5 jam, dan akan menjadi 4 jam selepas ini. Boleh 'breakfast' di kedai Pok Weil, 'lunch' di KL dan dinner di Durian Kassim dalam satu hari. (saya pernah cipta rekod ini awal tahun ini).

Kerana itu blog DURIAN KASSIM (duriankassim.blogspot.com) dan Facebook Durian Kassim dilancarkan dengan harapan ada anak-anak Durian Kassim yang berada di mana-mana (walaupun di United Kingdom) akan terjumpa, ter'search', atau terbaca kedua-dua medium ini akan bersama menyumbangkan idea, buah fikiran, dan buah tangan yang bersesuaian dengan desa ini untuk sama-sama membantu kami2 yang duk tercongok di kampung ini memajukan kampung ini. Barangkali idea kami di kampung tak sama dengan idea orang Sarawak, Kuala Lumpur dan London. Mudah2an dengan lontaran idea itu akan dapat kami kembangkan kepada akar umbi di kampung ini.

Walaupun blog ini tidaklah sesempurna blogger2 lain, (sb moderatornya masih lesen L - sekadar memperaktikkan apa yang dipelajari di universiti), tapi InsyaAllah proses 'touch-up' akan terus di buat dari masa ke semasa disamping mempromotekan blog ini melalui Facebook.

Dan Insya Allah juga, sedikit masa lagi website Durian Kassim pula akan dilancarkan. Manafaat teknologi hujung jari ini digunakan sepenuhnya untuk DK Desa Ku...

Sejarah Durian Kassim

Dipercayai wujudnya KAMPUNG DURIAN KASSIM pada peta daerah dan negeri ini ialah pada akhir tahun 1890 an dimana ianya bermula dengan penemuan sebatang pokok durian yang bersaiz agak luar biasa berbanding pokok spesis yang sama dengannya pada ketika itu.

( Selamat Datang ke Durian Kassim)

Diceritakan orang bahawa pokok durian ini telah ditanam oleh seorang lelaki muaaf di tepi sebuah masjid. Lelaki ini dikenali sebagai “Kassim Mualaf’. Disebabkan Ietaknya masjid ini ditengah-tengah perjalanan antara Kuala Terengganu dan Kuala Berang ke kawasan pendalaman (Jerangau), maka masjid ini sering menjadi tempat persinggahan mereka yang berulang alik dari bandar (Kuala Terengganu dan Kuala Berang) ke destinasi di kawasan hulu ni. Samada untuk melepas penat berjalan atau menunaikan kewajipan kepada Ilahi.

Memandangkan saiz pokok durian ini agak luar biasa dan kebanyakan pokok durian yang lain, maka ianya telah menarik perhatian setiap orang singgah di masjid ini lalu ada yang bertanya, “Durian siapakah ini..?” , maka jawab yang mengetahui, “Durian Kassim”.

Bermula dan situ, nama Durian Kassim meniti dan bibir ke bibir dan terkenallah tempat ni dengan nama Kampung Durian Kassim.